Syuhada' Melayu

Friday, March 31, 2006

As Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood

( Membicarakan syahid sebelum kesyahidannya)

" ..sesuatu yang mesti diingatkan kepada saudara-saudara yang masih hidup lagi sesudah kami para mujahiddin ini bertemu dengan Allah swt di dalam syurga firdaus. Kalau saudara/i masih hidup lagi akan berdosa kepada Allah sekiranya zuriat akan datang akan kencing di atas kubur-kubur saudara kerana saudara hidup tidak mahu berjuang dan berjihad untuk menegakkan kalimah Allah yang Maha Tinggi. Kami para mujahiddin yang sudah mati syahid dan dikuburkan berserta darah-darah merah.. kami berada di syurga dan saudara-saudara tetap berdosa dengan Allah Taala seandainya saudara masih berdiam diri..."
.
Itulah antara ucapan-ucapan jihad dari Assyahid Ibrahim Mahmood atau turut dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya dalam majlis tamrin khusus kepada ahli-ahli Pas Kawasan Baling dalam tahun 1985. Beliau seolah-olah telah mengetahui saat kesyahidannya dan membayangkan telahpun berada di syurga firdaus menikmati penghormatan Tuhannya.
.
" Insyaallah kalau kita dapat mati syahid, inilah suatu kematian yang istimewa dalam dunia ini. Tuan-tuan janganlah cuba melangkah kaki berpaling ke belakang dari perjuangan Islam. Ketika kita melangkah berundur dari musuh kita, ketika kita ditembak mati, dalam hal seperti itu maka kita mati seperti mati katak. Tetapi kalau kita berada dan berhadapan dengan musuh-musuh Islam yang menyekat pergerakan Islam, maka kita akan mencapai mati syahid.."
.
" Orang-orang yang mati syahid ini, tulang temulangnya serta kulit mereka tidak reput untuk selama-lamanya. Mereka tinggal di bawah tanah serta semerbak harum bau mereka. Sesungguhnya orang yang mati syahid adalah orang-orang yang duduk setaraf atau satu saf dengan penghulu para syuhada, Syaidina Hamzah bapa saudara Rasulullah Saw yang gugur syahid di medan pertempuran Uhud bersama 70 orang para syuhada Uhud. Orang-orang yang mati syahid tidak dihisap dan ditimbang menimbang akan dosa dan pahala mereka di padang Mahsyar kelak. Mereka terus masuk syurga dengan izin Allah. Malah mereka dapat pula memberi berkat kesyahidannya itu kepada 70 orang sahabat handai dan saudara mereka untuk memasuki syurga firdaus Allah SWT di akhirat"
.
"..Mereka ini akhirnya apabila mati dalam hal itu dinamakan mati syahid yang telah diambil mereka itu akan dibawa ke dalam syurga Firdaus menjadi burung-burung hijau dan memakan makanan-makanan syurga sejak daripada mula malam mereka gugur syahid itu atau siangnya tanpa ditanya atau dipersoalkan lagi.."
.
Siapa Assyahid Ibrahim Mahmood?
.
Sebelum tragedi itu, namanya kurang dikenali ahli Pas kerana Assyahid lebih aktif di Negeri Kedah sahaja. Apabila mendengar warta berita malam itu dan kejayaan pihak keselamatan dalam operasi membenteras kumpulan ajaran sesat, penyusun terbungkam dengan pertanyaan 'siapa pula penjenayah' ini kerana terlihat kaum wanita bertudung labuh hitam dan berkopiah putih di kaca TV. Sebelum itu penyusun turut ada pengalaman diserbu pihak keselamatan ketika duduk mendengar ceramah politik di Kuala Lumpur. Memang kecut perut juga bila diserbu begitu dengan silauan lampu kamera dan tubuh-tubuh gempal menerpa ketika kami asyik mendengar syarahan pimpinan.
.
Keesokan harinya, media-media masa negara bertali arus memaparkan kejadian berdarah tersebut dan itulah kali pertama penyusun mengenali nama Ibrahim Libya dan Memali. Tanda persoalan bertambah kusut apabila melihat bendera bulan di pagar rumah mangsa. Sebilangan sahabat-sahabat turut bingung dan berhati-hati untuk mengulas kejadian tersebut. Pihak yang tidak menggemari kerja-kerja dakwah turut menunding jari kepada ahli-ahli Pas kerana terpengaruh tuduhan tragedi itu berlaku kerana angkara puak pelampau agama, pendakwah dan ajaran sesat. Penyusun masih ingat betapa sukarnya rakan-rakan yang aktif dalam kerja dakwah di pejabat berdepan dengan rakan-rakan sekerja yang masih 'happy go lucky' dan ada muslimat yang bertudung didiskriminasi dan dimalukan.
.
Beberapa hari berikutnya, satu perhimpunan untuk mendengar taklimat pimpinan telah diadakan di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar. Waktu itu, bangunan markaz masih kecil dan dalam pembinaan. Kami berasak-asak dalam dewan yang kecil dan penyusun duduk betul-betul di tepi rostrum penceramah. Apabila Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berucap menjelaskan keadaan sebenar tragedi itu, hati begitu diruntun sayu dan bila beliau terhenti berucap dan tersedu, tanpa sedar airmata pun jatuh berderai. Penyusun melihat hampir kesemua hadirin turut menangis sehingga ada terdengar suara tangisan lelaki agak kuat. Antara yang penyusun melihat mengesat airmata ialah Ustaz Nakhaei Hj Ahmad Naib Yang Dipertua Agong Pas ( sebelum berpaling meninggalkan jamaah) kerana penyusun duduk bersebelahan beliau.
.
Di majlis tergempar itulah penyusun mendapat maklumat sebenarnya. Apa yang dipaparkan oleh media utama negara cukup bercanggah dengan taklimat pimpinan Pas. Tragedi itu betul-betul menjadi isu besar kepada negara dan paling memilukan dalam perjuangan Pas. Berbulan-bulan media masa melaporkan haru-biru ini dan hampir kesemua pihak lawan menyalahkan assyahid Ibrahim Mahmood dan pengikutnya kerana dianggap penjenayah, mengamal ajaran sesat, pelampau, bughah dan sebagainya. Sebelum itu, kami nyaris termakan pembohongan bila ditunjukkan ada gambar pengikut tersebut memakai tangkal di pinggang dan meminum air yasin dalam kolam untuk kebalkan diri.
.
Majlis Fatwa samada peringkat Kebangsaan atau Kedah diarahkan menyiasat perkara tersebut, apatah lagi bila ahli-ahli Pas mendakwa mereka adalah para syuhada berdasarkan matlamat perjuangan dan tanda-tanda kesyahidan pada batang tubuh mereka. Penyusun kira pihak berkenaan juga panas miang dan terdesak untuk menyakinkan rakyat bahawa para syuhada itu golongan subersif, sesat dan membahayakan negara. Mereka ( pimpinan politik) ada yang tidak sabar mengeluarkan kenyataan sebelum siasatan majlis fatwa. Sebagaimana yang dijangkakan maka fatwa mengatakan mangsa-mangsa di Memali adalah 'bughah' dan tidak syahid ma'rakah, iaitu bukan syahid perang menentang golongan yang menentang pergerakan Islam. Antara ulama rasmi yang ditugaskan menyiasatnya ialah seorang mufti dan beberapa hari kemudiannya terpampang pula dalam akhbar beliau meninggal dunia secara mengejut.
.
Mimpi
.
Dalam suasana muram itu, kami mendapat berita terkini oleh pihak tertentu bahawa ada seorang Tuan Guru Pondok di Kedah telah bermimpi bertemu assyahid. Almarhum kononnya memberitahu 'tunggulah seratus hari' maka kami pun tertunggu-tunggulah hari tersebut. Penyusun melakarkan kisah ini hanyalah untuk mengimbas kembali situasi gawat waktu itu dan kesimpatian kami yang mendalam terhadap para sahabat yang telah mendahului kami dalam perjuangan ini. Ironisnya, saban hari membelek bilangan hari di kalendar hingga hari ke seratus.. tidak pulak kami melihat sebarang tanda perubahan. Maha suci Allah yang menguasai alam ini, apakala tersibar berita gempar dalam negeri tentang surat perletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, sesalinan surat perletakan jawatan yang tersibar luas itu tercatat tarikh 'bertepatan' hari keseratus mengikut kalendar hijrah. Lagi sekali airmata penyusun berlinangan tanpa malu mengenang kebobrokan manusia yang hilang kewarasan demi menyahut kebatilan.
.
Teringatlah penyusun akan kata-kata Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis taklimat selepas tragedi itu:
.
" Apabila engkau melihat umatku takut untuk berdepan dengan orang-orang yang zalim dan berkata kepada orang-orang yang zalim itu, wahai si zalim! ( tidak berani mengatakan zalim kepada mereka) maka diterimalah ucapan selamat tinggal daripadanya" - hadith riwayat Imam Ahmad.
.
"Dalam satu riwayat yang lain, maka perut bumi lebih baik dari atasnya. Suatu amanat dari Rasulullah saw yang menjadi pegangan teguh kepada kita.. "
.
Pada kesempatan yang lain pula, penyusun menghadirkan diri dalam kuliah bulanan almarhum Ustaz Dato' Fadhil Noor, Presiden Pas di Masjid Ar Rahman, Kuala Lumpur. Di sana secara tidak langsung almarhum telah meriwayatkan kisah seorang sahabat Nabi saw yang bertekad untuk mati syahid dalam suatu peperangan, beliau telah melilitkan sehelai kain merah dan terus ke medan perang untuk syahid. Ini memutarkan ingatan penyusun kepada dakwaan yang mengatakan ada pengikut assyahid Ibrahim Mahmood memakai tangkal kain di perutnya sebagai tangkal kebal( baca perenggan kesembilan di atas). Jelas betapa kekeliruan dan kejahilan jika kita tidak mengkaji perjalanan sirah Nabi sehingga apa yang tersimpul dalam benak kepala itu rupa-rupanya sudah terjawab di zaman Rasulullah saw sendiri.
.
Kemudian, apabila berlaku pergeseran antara dua pihak dalam UMNO sehingga terbentuknya 2 team dan berakhir pula kepada pengharaman parti kebangsaan tersebut. Lagi sekali media masa tanpa sedar memaparkan perang mulut kalangan mereka hingga saling tuduh menuduh punca angkara tragedi berdarah itu. Akhirnya, ahli-ahli Pas khususnya termaklumlah akan siapa banjingan utama dalam kejadian tersebut dan siapa pula pihak yang menjulang panji kebenaran. Mereka membuka pekung sendiri dan tidak mustahil percikan darah syuhada itu telah mengenai pakaian orang-orang memfitnah para syuhada tersebut.
.
Biografi Asy Syahid
.
Ustaz Ibrahim Mahmood dilahirkan dalam tahun 1944 di Kampung Memali, Baling ketika masih dalam zaman pendudukan tentera Jepun. Baling adalah sebuah daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman, sebelum ini terkenal sebagai daerah termiskin dan retetannya para petani yang disokong oleh para mahasiswa negara pernah mengadakan demotrasi terbesar di awal tahun 1970an. Di sana jugalah terjadinya perundingan antara pentadbiran kerajaan Tanah Melayu dengan pimpinan parti kominis Malaya pimpinan Ching Peng.
.
Ketika penyusun sempat bertugas di pekan Baling ini beberapa tahun lalu, penyusun dapati pembangunan daerah ini agak perlahan tetapi tidaklah seteruk dalam gambaran pemikiran sebelum menjejakkan kaki ke sana. Keperitan hidup petani mungkin tidak menyamai kepedihan luka-luka peninggalan tragedi berdarah yang ditanggung oleh waris peninggalan para syuhada dan mereka yang cedera. Cemuhan dan lebel sebagai keluarga pengkhianat negara sudah cukup membekas dalam sanubari. Pihak yang tidak menyenangi assyahid di Memali masih menaruh syak wasangka bahawa mereka 'tidak syahid' dan terus menyakininya.
.
Berdasarkan latar belakang pendidikan dan kerjayanya, terbukti assyahid mendapat pendidikan yang terbaik. Bermula dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Poko Sena. Assyahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami hadith. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke Azhar, Mesir. Lepas itu menamatkan pengajiannya di Libya pula.
.
Bertugas di Jabatan Perdana Menteri
.
Dalam buku kisah perjuangannya, dinyatakan bahawa assyahid kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.
.
Membina Madrasah
( sambungan kisah ini akan diteruskan setelah penyusun menemubual adik assyahid iaitu Ust. Ismail Mahmood, beliau juga turut tercedera dalam tragedi tersebut)

14 Comments:

  • At 4:24 PM, Blogger mohdilham said…

    subhanallah, tempatkanlah hambamu ini bersama para syuhada yang lain di dalam syurga..
    ya Allah, kurniakanlah aku keberanian sepertinya dan sahabat2 yang lain untuk berjuang di jalan mu ya Allah. amin.....

     
  • At 10:55 AM, Blogger Hamba Mu said…

    Amin...

     
  • At 12:14 PM, Blogger pemikir bebas said…

    dah lama saya cari kisah tentang memali ini... saya da dengar macam2 kisah dan akhirnya saya dapat jawapan... bersama kita berdoa agar Allah membantu para pendakwah kita untuk beroleh kemenangan didunia serta kenahagiaan diakhirat kelak...

     
  • At 10:41 PM, Blogger SPY2006 said…

    saya begitu sedih bila diberitau ustaz Ismail Mahmud adik kepada assyahid Ibrahim telah kembali kerahmatullah di Kuang, Sg Buloh. Saya sekeluarga amat rapat dgn keluarganya dan kerap mengikuti kuliah beliau. Beliau terlibat dalam peristiwa berdarah Memali dan beliau pernah beritau dalam kuliah bahawa, sahabat assyahid abangnya juga telah mati di Perlis ketika membicarakan bab maut dalam kuliah masjid. Mati ketika membicarakan maut yang datang bila-bila. Beliau yang cedera parah di Memali tak mati tetapi mati cara itu pula dalam masjid.

     
  • At 5:45 PM, Blogger imtinan mujahidah said…

    salam,terima kasih diatas perkongsian,teruskan menulis kisah2 bgini. seperti komen oleh spy2006,saya mendengar sendiri dari anak kepada orang memali yg tlibat dalam pertempuran,katanya ayahnya tidak syahid walaupun terkena tembakan yg byk,tetapi meninggal ketika bg ceramah setelah belasan tahun selepas peristiwa memali,anaknya berkata lagi kuasa maut di tangan Allah,tidak perlu gentar dalam perjuangan Islam.

     
  • At 5:31 AM, Blogger MekonG said…

    see my site more about this..
    http://mekongpeace.blogspot.com

     
  • At 11:48 PM, Blogger nneyaj said…

    Takbir..semoga kami yg masih hidup dapat berjihad sperti para syuhada sbelum nya-amin- Takbir.

     
  • At 2:24 AM, Blogger Ahmad Syafiq said…

    Saya macam saudara pemikir bebas juga lama mencari kisah sebenar tentang Tragedi Memali ini. Insya-Allah, saya telah menemukan jawapan di sini juga.

     
  • At 8:51 AM, Blogger Tinta.Muallimah said…

    Assalamualaikum. Ustaz Ibrahim tetap hidup dan sedang diberi rezeki oleh Allah. Ameen.

     
  • At 6:41 PM, Blogger Pahat Pusako said…

    saya membaca imbasan peristiwa Memali dalan Harakah baru-baru ini. Tentang serban yang terkena darah syuhada dan berbau wangi. Kemudian ttg jenazah yang masih berdarah dan panas. Inilah tanda mereka syahid.. kalau mereka syahid tentu pembunuh mereka dan sesiapa yang merestui pembunuhan itu akan dipersoal di Mahkamah Keadilan kelak. Siapa mereka? itulah pemimpin umno dan ahli-ahli mereka. Pasukan polis dan penyokong umno dulu, kini dan selamanya.. percikan darah syuhada di baju mereka dan mereka pasti menjadi saksi kelak. Awas orang umno!!!!

     
  • At 12:12 PM, Blogger bluepatsy_enemies said…

    assalammualaikum.. menitis air mata apabila membaca coretan mengenai assyahid Ibrahim atau nama yg lebih sy kenali Ibrahim Libya... Terharu dan terilham dengan pembacaan ini dan saya berharap saya dpat menjadi syahid sepertinya..berjuang di jalan Allah sehingga ke akhir hayat apatah lagi apabila dapat mati kerana-Nya.. amin ya robb...

     
  • At 8:22 AM, Blogger e said…

    utk mendapat title syahid amat sukar namun kita berdoa agar sokongan dan simpati kita terhadap pejuang yang telah mendahului kita akan membariskan kita bersama saf yg benar, saya juga menyeru sahabat sebangsa dan seagama yg sempat membaca artikel luka ini akan dibuka matahati oleh Allah untuk memahami hakikat perjuangan atas nama Islam. Hendaknya mrk tidak memfitnah para syuhada disebabkan kejahilan dan kefanatikan mrk berasama jamaah kebangsaan- umno!!

     
  • At 12:18 AM, Blogger mohd yosdi mat said…

    amboi. . . ramai tunjuk pandai nampak ! bukankah allah yg menentukan syahid ke,tak syahid ke ! awak apa tau,diam2 sajalah ! !

     
  • At 8:54 AM, Blogger Keluarga Tiadat said…

    Beberapa bulan yg lalu, tuan guru Tajuddin Jali meriwayatkan kisah sahabat assyahid Ibrahim Libya iaitu ust Mat Piah yg cedera parah dan koma di hospital. Beliau bermimpi ketika koma itu terbang di langit bersama ust Ibrahim dan kwn2. Begitu harum dan indah... kemudian sampai satu takah.. ustaz beritau ust Mat Piah utk berhenti sbb hang blum mati lagi katanya... tiba2 ust mat piah trsedar dari komanya. Beliau teresak-esak menangis krn ditinggalkan sahabatnya para syuhada 14 org itu... sila bertanya dan dpt kepastian dari Tuan Guru Tajuddin di pondok Bgn Datok atau kpd anak ust mat piah sendiri yg jadi ketua pemuda pas p.pinang

     

Post a Comment

<< Home